Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah membentangkan data ringkas jumlah pelaburan di Selangor sehingga Jun 2011 yang mencecah RM5.2 bilion yang terdiri dari 135 projek. Selangor mencatat peningkatan ketara dari segi bilangan projek berbanding negeri lain yang kebanyakannya kurang daripada 50 projek.
Ini sekaligus meletakkan Selangor di tempat teratas dari segi jumlah pelaburan di seluruh negara. Apa yang lebih utama ialah ini membuktikan slogan “Selangorku” yang kita laungkan dan kita nobatkan Julai lalu, bukan satu slogan kosong semata-mata tetapi telah kita terjemahkan dalam bentuk pembangunan di negeri Selangor.
Pelaburan yang diperolehi Selangor ini dicapai meskipun kita tidak mendapat sokongan kerajaan pusat dan tidak keterlaluan jika kita katakan, sebaliknya kita mendapat publisiti negatif yang melampau. Sejak Mac 2008, semangat federalisme seolah-olah terkubur di Selangor, meskipun negeri itu adalah penyumbang terbesar pembayaran cukai dalam negara.
Kita bersyukur kerana pelabur kini bijak menilai dan memilih prasarana terbaik untuk meletakkan pelaburan mereka di samping semangat’ menang-menang’ yang diambil kerajaan negeri. Amalan kerajaan negeri yang telah menamatkan sama sekali sistem lobi dan keuntungan broker di negeri ini, menjadikan pelabur merasakan pelaburan mereka benar-benar atas ‘value for money’.
Amalan komisen oleh orang tengah, terutama ahli politik yang menjadi kebiasaan suatu ketika dahulu, kini langsung tidak mendapat tempat di Selangor kerana pelaburan adalah berdasarkan merit dan kemampuan sesuatu organisasi.
Amalan telus serta amanah inilah yang menjadi faktor utama Selangor menjadi pilihan pelabur. Manakala bagi rakyat di Selangor pula amat memahami meskipun bantuan daripada kerajaan pusat hampir tiada, namun kerajaan negeri hari ini masih mampu memberi pembangunan dan kebajikan kepada rakyat.
Sejak mengambil tampuk pemerintahan Selangor dan setakat Jun 2011, sejumlah hampir RM500 juta telah disalur terus kepada pembangunan rakyat – antaranya Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah melebihi RM387 juta, Skim Tabung Warisan mencecah RM1.8 juta, Hadiah Anak Masuk Universiti RM19 juta, Skim Usia Emas dan OKU mencecah RM49 juta dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar yang kini melebihi RM2 juta dan berbagai-bagai bantuan kemasyarakatan yang akan diberikan secara berterusan.
Rakyat Selangor juga menikmati hasil daripada pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun oleh kerajaan negeri. Peningkatan hasil pasir amat ketara sekali. Pada tahun 2007 kutipan hasil pasir hanya RM4 juta manakala pada tahun ini – setakat bulan April – telah mencapai RM35 juta dalam bentuk royalti. Ini belum termasuk keuntungan yang dikutip Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang merupakan anak syarikat milikan penuh kerajaan.
Kerajaan negeri telah memanfaatkan hasil pasir ini terus untuk rakyat dengan memperuntukkan sejumlah RM10 juta untuk program “Jom Shopping” kepada golongan usia emas sebagai usaha membantu golongan ini menampung kos sara hidup yang sangat menekan.
Kerajaan negeri memahami bahawa hasil pasir ini meningkat naik adalah hasil kerja keras pegawai kerajaan terutama di Pejabat Daerah dan Tanah, khusus di Jabatan Penguatkuasaan. Justeru baru-baru ini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM5 juta hasil pasir untuk memberi bantuan biasiswa dan pinjaman siswa kepada pegawai kerajaan yang mahu meningkatkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Kerajaan negeri hari ini dipilih oleh rakyat Selangor yang berani mahukan perubahan. Keberanian rakyat menjadi kekuatan pemimpin Pakatan Rakyat dalam melakar sejarah di negeri bertuah ini. Setelah semua polisi digubal ke arah merakyatkan ekonomi negeri dan pelan tindakan dilaksanakan dan diterjemahkan dengan baik dengan memulangkan hasil negeri kepada rakyat maka baharulah kerajaan negeri mencipta Slogan Selangorku, Idamanku; indah disebut mantap pula pengisiannya.
Nota: Faekah Husin adalah setiausaha politik kepada menteri besar Selangor.